OTTAWA – Sebuah badan pemuliharaan alam sekitar mengumpul dana sebanyak AS$1.7 juta (RM7 juta) untuk membeli sebuah pulau di wilayah British Columbia, Kanada baru-baru ini, lapor saluran berita CNN.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan BC Parks, Andy Day berkata, pihaknya hanya perlu mengumpul sebanyak AS$122,415 (RM504,778) lagi untuk membeli Pulau West Ballenas seluas 40 hektar itu sebelum tarikh akhir pada 17 November ini.
“Pulau yang terletak di Laut Salish itu merupakan antara 10 kawasan yang kaya dengan biodiversiti di luar persisir British Columbia dan mempunyai salah satu ekosistem paling terancam.
“Ia termasuk dalam kawasan untuk pembangunan yang akan dibahagiakn kepada beberapa bahagian dan sejumlah kediaman bakal didirikan jika kita tidak membelinya,” katanya kepada CNN.
Selain itu, Day berkata, pulau yang masih belum dibangunkan itu merupakan habitat kepada beberapa spesies tumbuhan terancam termasuk bunga buttercup yang hanya ditemui di pulau tersebut dan satu lagi lokasi lain di British Columbia.
Pulau itu juga menjadi tumpuan burung laut, paus pembunuh, singa laut utara dan California serta hidupan marin yang lain.
Tambah Day, yayasan berkenaan turut merancang untuk menjadikan pulau berkenaan sebagai taman awam yang membolehkan para pemulihara alam sekitar mengawal kesan pencemaran dengan memasang kemudahan antipencemaran dan menghadkan akses orang awam ke sesetengah kawasan.
“Ia adalah kawasan yang sangat cantik dan sesuai untuk aktiviti berkayak serta berkanu, jadi kami mahu orang ramai menikmatinya.
“Bagaimanapun, kami perlu memastikan kawasan berkenaan terus dilindungi kerana terdapat spesies haiwan dan tumbuhan terancam di pulau itu,” ujarnya. – Agensi