LUMUT – Tindakan bot nelayan asing menceroboh perairan negara semakin menjadi-jadi dan terbaru semalam sebanyak 40 bot nelayan Indonesia didapati menangkap ikan berhampiran Pulau Jarak dekat negeri Perak.
Bagaimanapun, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak bertindak pantas mengusir semua bot nelayan tersebut yang menceroboh perairan negara di beberapa kedudukan sekitar 28.5 hingga 30 batu nautika barat laut Pulau Jarak.
Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman, kesemua bot tersebut dikesan ketika Kapal Maritim (KM) Rawa sedang melaksanakan Op Benteng di perairan Perak.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bot tersebut adalah bot nelayan tradisional Indonesia yang mempunyai empat orang awak-awak termasuk tekong bagi setiap bot sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.
“KM Rawa memberi amaran keras kepada bot-bot tersebut dan kesemuanya diarahkan untuk menghentikan aktiviti penangkapan ikan dan keluar dari perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, KM Rawa telah mengiring kesemua bot nelayan Indonesia itu hingga ke sempadan maritim Malaysia-Indonesia bagi memastikan mereka tidak berpatah balik menceroboh perairan negara.
Dalam tempoh lima hari lalu, Maritim Malaysia Perak telah mengusir lima bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara.
Beliau juga berkata, dalam tempoh dari 18 Mac lalu hingga semalam, sejumlah 199 bot nelayan Indonesia telah diusir keluar dari perairan Malaysia selepas kesemuanya dikesan menceroboh dan menangkap ikan di perairan Perak.
Katanya, tindakan pengusiran bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar dari perairan Malaysia adalah untuk menyekat penyebaran wabak Covid 19 menerusi warga asing serta membantu Kementerian Kesihatan menurunkan graf kebolehjangkitan wabak itu di kalangan rakyat Malaysia.
Justeru, tegasnya, aset-aset APMM Perak akan terus meningkatkan rondaan dan pengawasan terutama di titik-titik panas berhampiran persempadan maritim negara dengan negara jiran untuk menyekat PATI dan bot-bot nelayan asing daripada terus menceroboh dan memasuki negeri Perak.
Beliau meminta komuniti maritim bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan nelayan-nelayan asing, pendatang tanpa izin serta lain-lain kegiatan jenayah yang dikesan berlaku dalam perairan Perak kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau National Task Force (NTF) di talian 011-6251 1123.
“Komuniti maritim negeri Perak juga dinasihatkan agar memastikan bot sentiasa dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan sesuatu aktiviti di laut dan jika mengalami kecemasan segera hubungi MRSC Langkawi 04-9660537 atau MERS 999.,” katanya. – K! ONLINE.