fbpx

20 keluarga terima sumbangan sambut Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurzana bersama Norhaslinda (kanan) semasa menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima bagi meringankan beban menyambut Deepavali di Mukim Lekir, Manjung semalam.

SERI MANJUNG – Sambutan Deepavali tahun ini lebih bermakna buat 20 keluarga masyarakat India yang kurang berkemampuan di sekitar Mukim Lekir di sini apabila menerima sumbangan berupa barang-barang keperluan harian daripada Perak Foodbank semalam.

Perak Foodbank merupakan sebuah pertubuhan kebajikan yang dinaungi oleh isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Dr. Nomee Ashikin Datuk Muhammed Radzi yang giat melaksanakan program kemasyarakatan bagi menyantuni pelbagai lapisan rakyat.

Program yang dijayakan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Masyarakat Prihatin Perak (Ukhuwah) ini mengambil inisiatif membantu para penerima bagi meringankan beban mereka membuat persiapan menyambut Deepavali.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi Perak Foodbank, Nurzana Jamry berkata, penyerahan sumbangan ini juga membuktikan bahawa tiada masyarakat terpinggir untuk dibantu.

Menurut beliau, pemilihan keluarga ini adalah menerusi sesi turun padang Perak Foodbank bersama Ukhuwah termasuk melibatkan pemimpin komuniti.

“Berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat menyebabkan ada keluarga masyarakat India yang kurang bernasib baik terjejas persiapan perayaan.

“Justeru, sumbangan kecil ini diharap dapat meringankan beban para penerima yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan keluarga miskin,” ujarnya kepada Kosmo!.

Sementara itu, Pengerusi Ukhuwah, Norhaslinda Zakaria berkata, pihaknya akan menggandakan usaha untuk mengenal pasti keluarga kurang berkemampuan yang keciciran tanpa mengira kaum agar dapat diberikan bantuan sewajarnya.

Jelas beliau yang juga Exco Srikandi Bersatu Kebangsaan dan Ketua Srikandi Bahagian Lumut, inisiatif sebegini adalah medium terbaik untuk mendekati masyarakat serta mengeratkan silaturrahim.

“Program kesukarelawan Ukhuwah bukanlah pada musim perayaan atau masa-masa tertentu, sebaliknya dilakukan setelah kita mengenal pasti ada golongan yang perlu diberi perhatian.

“Sebab itu kita amat mengalu-alukan mana-mana pihak atau dermawan yang ingin menyumbang dan bolehlah menghubungi pihak urusetia menerusi laman Facebook Ukhuwah agar lebih ramai keluarga terjejas dibantu,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI