SEPANG – Sebanyak 141 bakul barangan keperluan harian telah disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada penghuni di Medan 88, di Bandar Baru Salak Tinggi sejak kawasan berkenaan dikuatkuasakan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A. Hamid berkata, penyaluran bantuan itu bermula 12 November hingga hari ini berdasarkan permohonan yang dikemukan penghuni.
Katanya, rata-rata pemohon yang menerima bantuan terdiri daripada penghuni yang kekurangan wang untuk mendapatkan barang keperluan harian.
“JKM menerima maklumat daripada pemohon warga tempatan dan asing yang memaklumkan kekurangan wang untuk membeli barangan harian.
“Semakan dibuat ke atas setiap permohonan dan didapati kebanyakan penerima bantuan terdiri daripada mereka yang berpendapatan harian dan terjejas dengan pelaksanaan PKPD ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, bakul barangan yang disalurkan mengandungi bahan-bahan mentah dan kering.
“Antaranya beras, tepung gandum, gula dan makanan kering harian yang lain.
“JKM juga akan memastikan penyaluran bantuan bekalan harian tidak akan berulang kepada penerima yang sama,” katanya.
Premis perniagaan di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, dikenakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula 12 November lalu dan akan berakhir 25 November ini.
Seramai 800 penduduk di kawasan berkenaan terbabit dengan perlaksanaan itu. – K! ONLINE.