SHAH ALAM – Penduduk di lima daerah di Selangor dinasihatkan bersiap sedia bagi menghadapi fenomena air pasang besar selama dua hari bermula Ahad ini.
Ini melibatkan daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, fenomena paras air laut diramal akan berada pada paras tertinggi 5.6 meter berdasarkan jadual pasang surut bagi Pelabuhan Klang.
“Paras air dijangka berlaku pukul 5.44 pagi Ahad ini dan pukul 6.25 pagi Isnin depan.
“Sekiranya cuaca hujan lebat dan keadaan angin kencang berlaku, risiko kejadian banjir akan meningkat di lokasi yang berada berdekatan pantai,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan Selangor telah mengarahkan persediaan menghadapi bencana tahap tinggi dilaksanakan di semua daerah tersebut.
“Semua penduduk di lokasi berisiko diminta bersiap sedia dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Orang awam juga perlu mengehadkan aktiviti rekreasi air di persisiran pantai,” katanya.
Berdasarkan jadual Unit Pengurusan Bencana negeri, fenomena yang berlaku sejak 19 September lalu itu merangkumi beberapa fasa akan berakhir pada bulan ini. – K! ONLINE