fbpx

Tiga individu dibenarkan dalam satu kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini membenarkan setiap kenderaan persendirian boleh dinaiki sehingga tiga orang penumpang termasuk pemandu berkuat kuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil selepas mendengar pelbagai rungutan daripada orang awam berhubung prosedur operasi standard (SOP) berkenaan.

Beliau berkata, kelonggaran sama turut terpakai bagi kenderaan e-hailing dan perkhidmatan teksi dimana mereka boleh membawa sehingga dua orang penumpang.

“Sebelum ini, kita faham ada situasi di mana ada yang ingin membawa ibu dan bapa ke hospital atau klinik bagi mendapat rawatan. Dalam keadaan itu, setiap kenderaan pastinya sudah melebihi dua orang penumpang termasuk suami dan isteri.

“Malah, dalam keadaan lain juga, ada ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan menyukarkan untuk mereka tinggalkan anak dan ia mungkin berbahaya. Justeru, polis boleh menggunakan budi bicara,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Ismail Sabri berkata, menerusi SOP sebelum ini, polis diberi kuasa menggunakan budi bicara jika berdepan dengan kenderaan itu membawa lebih daripada dua penumpang.

Bagaimanapun, katanya, beliau dimaklumkan pihak polis ada masanya sukar untuk menggunakan budi bicara berkenaan.

“Oleh itu, mesyuarat hari ini bersetuju memberi kelonggaran iaitu tiga orang untuk satu kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk mengetatkan SOP bagi pergerakan rentas negeri terutama dari negeri-negeri lain ke Lembah Klang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai peningkatan kes positif Covid-19 susulan pergerakan keluar masuk lebih enam juta orang ke Lembah Klang setiap hari.

Ismail Sabri berkata, beliau menyedari peningkatan kes di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur namun, setakat ini kerajaan masih mengekalkan kebenaran rentas negeri untuk tujuan bekerja.

“SOP rentas negeri yang ditetapkan bagi pergerakan antara Negeri Sembilan, Selangor dan negeri-negeri lain ke Lembah Klang adalah atas dasar bekerja.

“Selagi kita benarkan pergerakan rentas negeri untuk bekerja jadi selagi itu kita tidak boleh perketatkan SOP rentas negeri,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI