fbpx

Tidak sempat seludup dadah ke Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arjunaidi (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas pihaknya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - Foto ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Sindiket pengedaran dadah yang didalangi seorang lelaki yang memakai gelaran Datuk Seri palsu tidak sempat menyeludup 126.85 kilogram (kg) syabu ke negara jiran dipercayai Indonesia.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua dadah tersebut yang disimpan di dalam 120 bungkusan teh Cina itu diperoleh dari sebuah negara jiran di utara Malaysia.

Katanya, dadah tersebut kemudiannya dibawa melalui kawasan di negeri Pantai Timur sebelum ke pantai barat Semenanjung.

“Siasatan awal mendapati dadah itu akan dihantar ke negara jiran dan bukannya untuk pasaran tempatan.

“Justeru, kita percaya Malaysia cuma menjadi transit kepada pengedaran dadah ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat kira-kira 120 kg dianggarkan bernilai RM5 juta dalam satu serbuan di tempat kereta di belakang pusat beli-belah South City Plaza, Serdang, Rabu lalu.

Menurut Arjunaidi, dalam serbuan bermula pukul 4.30 petang itu, lima lelaki berusia 25 hingga 42 tahun termasuk seorang lelaki warga Indonesia ditahan.

Ujarnya, semakan terhadap lelaki warga asing itu mendapati pasportnya telah tamat tempoh dan dipercayai menjadi orang tengah bagi proses penghantaran ke negaranya.

“Dua suspek yang ditahan merupakan adik-beradik dengan masing-masing seorang peniaga barangan komestik di sebuah negeri Pantai Timur dan anggota tentera berpangkat rendah.

“Kenderaan mewah jenis Ford Mustang bernilai lebih RM500,000 yang digunakan dua suspek semasa serbuan itu adalah berdaftar atas nama isteri kepada anggota tentera tersebut,” jelasnya.

Ujian air kencing mendapati kedua-dua beradik itu negatif dadah manakala tiga lagi suspek yang turut ditahan adalah positif syabu.

Turut dirampas dalam serbuan itu adalah tiga buah kenderaan masing-masing jenis Nissan Almera, Toyota Innova dan Honda HR-V serta wang tunai RM3,000.

Beliau menegaskan, sindiket tersebut dipercayai beroperasi lebih dari lima bulan berdasarkan semakan kewangan milik salah seorang suspek.

“Keseluruhan dadah itu mampu dibekalkan kepada 253,700 penagih dadah dalam masa sehari dengan mengambil kiraan penggunaan sebanyak 0.5 gram.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu lalu hingga 17 November depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI