LONDON – Bapa kepada pemain pertahanan Arsenal, Shkodran Mustafi mengesahkan bahawa masa depan anaknya bersama kelab itu terus samar dan tidak menolak kemungkinan berhijrah menyertai kelab baharu.
Mustafi menghabiskan masa selama empat musim di Emirates selepas melengkapkan perpindahan dari Valencia pada 2016.
Pemain berusia 28 tahun itu membuat 146 penampilan untuk pasukan dari utara London dan berjaya menjaringkan sembilan gol serta menjulang dua gelaran Piala FA bersama pasukan itu.
Bagaimanapun, dia tidak lagi menjadi pilihan pengurus Arsenal, Mikel Arteta sejak kebelakangan ini termasuk hanya memanaskan bangku simpanan ketika mereka tewas 0-3 kepada Aston Villa.
Kontrak semasa Mustafi akan berakhir pada musim panas nanti, namun Arsenal masih belum tampil dengan tawaran baharu untuk terus mengekalkannya bersama pasukan itu.
“Ketika saya membuat keputusan untuk menyertai Arsenal, ia adalah kerana saya menghormati kelab ini. Ia merupakan kelab yang besar, sebab itu ia sangat bermakna jika saya terus kekal di sini,” kata Mustafi.
Bapa Mustafi, Kujtim Mustafi yang juga ejennya mengakui bahawa peluang untuk anaknya itu mencari kelab baharu kini terbuka dan dibenarkan berunding dengan mana-mana kelab pada Januari nanti.
“Tidak ada salahnya, kami boleh memasang apa sahaja impian kerana dia akan bebas daripada sebarang kontrak pada hujung musim nanti,” jelasnya. – AGENSI