fbpx

Sorok rokok seludup RM3 juta dalam rumah sarang burung walit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Azizan Yusof (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada rokok seludup yang di rampas di Kampung Dalam Tumpat semalam.

TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 merampas 19,230 karton rokok seludup bernilai RM3 juta yang disembunyikan dalam sebuah rumah sarang burung walit terbiar di Kampung Dalam dekat sini semalam.

Serbuan pukul 10 pagi itu dilakukan oleh anggota pasukan berkenaan sebaik sahaja menerima maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di kawasan itu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, apabila tiba di lokasi itu, pihaknya terus melakukan pemeriksaan dan mendapati pintu hadapan yang terdapat di bangunan itu tidak berkunci.

“Apabila anggota PGA masuk ke dalam bangunan berkenaan, kami dapati terdapat sebuah pintu yang telah dikunci menggunakan mangga.

“Kami terpaksa membuka kunci itu bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan ke dalam bangunan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Markas PGA Kuala Jambu di sini hari ini.

Nor Azizan berkata, pihaknya telah menemui bungkusan plastik yang mengandungi rokok seludup berjumlah 19,230 karton.

Katanya, siasatan awal mendapati, rokok-rokok itu dari negara China yang diseludup dari negara jiran menggunakan laluan-laluan tikus bagi mengelakkan dari dikesan pihak penguat kuasa.

“Ini merupakan rampasan rokok terbesar yang berjaya dilakukan oleh PGA dalam tempoh tiga tahun.

“Kita percaya rokok-rokok itu akan dijual kepada warga asing yang terdapat di negara ini,” ujarnya.

Nor Azizan berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan dalang sebenar disebalik kegiatan itu.

Katanya, kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menerusi Op Benteng Covid-19 akan terus diketatkan bagi memastikan aktivi jenayah rentas sempadan berjaya dibanteras. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI