KLANG – “Saya tidak akan mempersiakan peluang kedua ini.”
Demikian kata bekas banduan dikenali Aiman yang diterima bekerja bersama 21 lagi individu di sebuah syarikat membuat perabot, Pellitalia Living Sdn. Bhd. ( Pellitalia Living) di Jalan Keretapi Lama, Kapar di sini menerusi Program I-Kembali.
Kesemua 22 bekas banduan tersebut adalah daripada tiga penjara iaitu Bentong, Pahang ; Kajang, Selangor dan Tapah, Perak.
Menurut Aiman, dia baharu beberapa hari dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama lapan bulan di Penjara Bentong atas kesalahan mencuri.
Katanya, peluang menerusi program itu akan dimanfaatkan sebaiknya dalam meneruskan kelangsungan hidup walaupun berdepan pelbagai persepsi buruk daripada masyarakat.
“Syukur sangat sebab langsung tidak menjangka dan saya sememangnya tidak sabar untuk mula bekerja Isnin depan.
“Pengalaman menjalani hukuman penjara menyedarkan saya bahawa tiada jalan pintas selain keazaman kuat untuk berjaya dalam hidup,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Pengurus Pellitalia Living, Maria Koh berkata, pihaknya akan menyediakan tempat tinggal, makanan dan minuman untuk 22 bekas banduan itu ketika waktu kerja.
“Syarikat amat memerlukan pekerja baharu terutama individu warga tempatan. Malah, secara peribadinya menyokong program I-Kembali terutama dalam memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad menegaskan seramai 250 peserta I-Kembali yang telah bekerja dengan 35 buah syarikat daripada enam sektor industri di seluruh Malaysia.
“Program ini telah dilancarkan sejak Jun lalu dengan kita akan memadankan bidang pekerjaan berdasarkan minat, kebolehan dan kemampuan seseorang bekas banduan,” jelasnya. -K!ONLINE