PARIS – Penyerang Perancis, Antoine Griezmann menganggap kekalahan mengejut 0-2 kepada Finland pada aksi persahabatan antarabangsa di Stade de France awal pagi semalam memberi tamparan besar kepada mereka selaku pasukan berstatus juara dunia.
Lebih malang, kekalahan menerusi dua gol pantas dalam tempoh tiga minit itu secara tidak langsung meleburkan rekod 12 perlawanan tanpa kalah walaupun berjaya meraih 24 percubaan dengan 72 peratus penguasaan permainan.
Justeru, Griezmann, 29, menggesa rakan-rakan sepasukannya untuk memanfaatkan setiap peluang dimiliki sejak kali terakhir Les Bleus gagal menjaringkan gol di pentas antarabangsa ketika menentang Luxembourg pada September 2017.
“Kami ada banyak peluang menjaringkan gol dengan dua atau tiga daripadanya melalui Marcus (Thuram). Jika dia memanfaatkannya, sudah tentu keputusan perlawanan hari ini akan berbeza.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa, sebaliknya keputusan ini boleh dijadikan pengajaran terbaik buat kami kerana lawan selepas ini lebih sukar,” kata Griezmann.
Skuad bimbingan Didier Deschamps itu terpaksa akur tewas kepada Finland menerusi gol-gol daripada Marcus Forss dan Onni Valakari masing-masing pada minit ke-29 serta 31.
Perancis perlu menajamkan jentera serangan mereka jika berhasrat meraih kemenangan pada aksi kelima Kumpulan A3 saingan Liga Negara-Negara Eropah menentang juara Eropah, Portugal di Estadio da Luz awal pagi Ahad ini.
Sebagai rekod, Perancis kini mengumpul 10 mata sama dengan Portugal yang berpesta gol dengan membelasah Andorra 7-0 dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa awal pagi semalam. – AGENSI