AMSTERDAM – Ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique menghambur pujian kepada kaptennya, Sergio Ramos selepas menyamai rekod pemain terbanyak beraksi di pentas Eropah dipegang penjaga gol yang juga legenda Itali, Gianluigi Buffon.
Ramos, 34, membuat penampilan antarabangsa ke-176 selepas dimasukkan pada lima minit terakhir aksi persahabatan menentang Belanda yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Amsterdam Arena awal pagi semalam.
“Ramos seorang pemain yang unik dan berada pada kelas tersendiri. Rekod penampilan terbanyak ini boleh diraih oleh pemain-pemain yang berbakat sahaja seperti Ramos,” kata Enrique.
Bintang pertahanan tengah Real Madrid itu akan memintas rekod tersebut apabila dia dijangka diturunkan dalam dua aksi Liga Negara-Negara Eropah menentang Switzerland di St. Jakob Park serta Jerman di Estadio La Cartuja pada Ahad dan Rabu ini.
Berdasarkan prestasi semasa, Ramos juga dilihat berpeluang memahat namanya sebagai pemain paling banyak kaps antarabangsa di dunia apabila dia kini cuma ketinggalan lapan perlawanan dengan pemegang rekod tersebut dari Mesir, Ahmed Hassan.
Sementara itu, Enrique, 50, berpuas hati dengan keputusan seri ke atas Belanda selepas menurunkan barisan ‘eksperimen’ dengan membariskan penjaga gol baharu, Unai Simon bersama-sama Koke, Alvaro Morata, Hector Bellerin dan Marco Asensio. – AGENSI