fbpx

Peminat perlu tenang tunggu Safawi beraksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

PEMINAT bola sepak Malaysia hampa selepas harapan untuk menyaksikan ‘budak emas’ skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid diturunkan pada aksi Liga Portugal melibatkan Portimonense menentang Porto pada awal pagi Isnin lalu tidak kesampaian.

Susulan itu, ratusan peminat bola sepak tempatan menyerang laman sosial kelab Portimonense termasuk mengutuk percaturan pasukan itu yang dilihat seperti ‘peram’ bakat Safawi yang hanya memanaskan bangku simpanan.

Sebagai rekod, Safawi telah dipinjamkan selama semusim daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) kepada Portimonense dengan harapan dapat mengembangkan karier pemain berbakat kelahiran Terengganu ke pentas Eropah.

Safawi yang hampir dua bulan berkelana di Portugal hanya mendapat minit permainan bersama skuad bawah 23 (B-23) Portimonense ketika menentang skuad Sporting Lisbon B-23 pada pertengahan bulan lalu.

Nasib pemain berusia 23 tahun itu sedikit berbeza dengan bintang remaja sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin yang sudahpun mencetak penampilan debut bersama skuad K.V. Kortrjik selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Anderlecht baru-baru ini.

Bagaimanapun, penyokong bola sepak negara harus faham situasi yang dialami Safawi meskipun Portimonense bukanlah kelab ternama di Portugal, barisan pemain yang mewakili pasukan itu sememangnya memiliki kualiti tersendiri.

Perkara itu diakui oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik kelab JDT yang menyeru agar peminat faham dan percaya de­ngan proses perjalanan karier bola sepak pemain di Eropah.

“Pemain kita datang daripada ranking rendah dunia dan apabila pemain kita ke luar negara, mereka akan ada pesaing dalam pasukan mereka sendiri dari negara seperti Brazil, Colombia atau Ukraine yang berada di ranking sangat tinggi dalam dunia.

“Walaupun pemain kita berbakat, mereka perlu masa untuk berkembang. Kita kena hormati masa yang diberikan oleh kelab Portimonense dan kita kena percaya proses tersebut,” kata Tunku Ismail dalam satu kenya­taan baru-baru ini.

Bekas pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee percaya khidmat penye­rang sensasi negara, Safawi Rasid akan digunakan oleh skuad kendalian Paulo Sergio itu tetapi pendedahan buatnya akan dilakukan secara berperingkat.

“Kita kena faham pasukan di sana membentuk pemain bukan secara terburu-buru.

“Kena juga ingat sejak Safawi tiba di sana dia berlatih bersama skuad utama, namun diturunkan terlebih dahulu untuk beraksi bersama skuad B-23 bagi menyesuaikan diri dengan corak permainan di sana.

“Kalau benar Safawi tidak ada dalam perancangan skuad utama,­ sudah tentu dia tidak dibenarkan menjalani latihan ber­sama mereka,” katanya.

Kim Swee yang kini menjadi Ketua Unit Pembangunan Belia Persatuan Bolasepak Malaysia mengakui perbezaan ketara daripada sudut kualiti dan permainan di Eropah dengan bola sepak tempatan adalah sangat ketara.

“Saya percaya dia mempunyai semangat juang yang tinggi untuk terus bersaing merebut tempat walaupun masih belum beraksi dengan kelab utama.

“Tetapi saya percaya satu hari nanti apabila peluang diberikan kepada Safawi, sudah tentu dia akan dapat memanfaatkan peluang ini untuk kekal bersama pasukan utama,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI