fbpx

Moratorium automatik bukan jalan terbaik – BNM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan moratorium bayaran balik pinjaman secara automatik bukanlah jalan terbaik untuk membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi sekarang, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus.

Beliau menyifatkan ia bukan langkah yang bertanggungjawab, berpotensi melemahkan jutaan pendeposit bank dan akan meningkatkan kadar hutang isi rumah ke paras yang tinggi sehingga mampu mendatangkan masalah pada masa depan.

Meskipun mengakui bank di negara ini masih memiliki jumlah penampan yang baik, Nor Shamsiah menegaskan sejarah silam kemelesetan ekonomi global menunjukkan kedudukan tersebut boleh berubah.

Tambahnya, ramai peminjam mampu dan bersedia membayar pinjaman mereka manakala pihak bank pula komited untuk membantu golongan terjejas menerusi bantuan bayaran balik secara bersasar.

“Dalam Belanjawan 2021, bantuan ini diperluaskan kepada semua golongan B40 dan M40, malah setiap bank memiliki pakej bantuan sendiri yang boleh disesuaikan mengikut keperluan peminjam.

“Kami sedar ada peminjam yang berdepan masalah mendapatkan bantuan dan kami membuat susulan untuk setiap aduan diterima, namun golongan ini adalah kelompok minoriti, hanya 0.1 peratus daripada permohonan bantuan bayaran balik.

“Mereka yang terjejas boleh dan hampir pasti akan mendapatkan bantuan, dengan kadar kelulusan pada paras 98 peratus,” katanya pada sidang akhbar yang dibuat secara maya sebentar tadi berhubung prestasi ekonomi negara untuk suku ketiga 2020.

Dalam pada itu, Nor Shamsiah menjelaskan pihaknya mengekalkan unjuran prestasi ekonomi negara antara -3.5 peratus hingga -5.5 peratus untuk tahun penuh 2020.

Jelasnya, ini setelah mengambil kira peningkatan semula kes jangkitan Covid-19, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di hampir seluruh Semenanjung Malaysia selain potensi (PKPB) akan dilanjutkan.

“Bagaimanapun angka tersebut mungkin lebih hampir kepada -5.5 peratus,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI