REMBAU – Seorang pekerja makanan segera disahkan meninggal dunia di hospital selepas dua jam terbabit dalam kemalangan di kilometer 222.6, Lebuh Raya Utara Selatan (selatan) dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu, mangsa, Mohd. Fauzi Sidik, 40, disahkan maut di Zon Merah, Hospital Alor Gajah, Melaka kira-kira pukul 1.40 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu motosikal yang ditunggangi mangsa jenis Modenas Kriss dan juga sebuah lori Low Loader jenis Scania.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa menunggang dari arah Senawang menghala ke Air Keroh di laluan lorong kiri. Semasa sampai di tempat kejadian, mangsa telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori yang bergerak di lorong kiri lebuh raya tersebut menyebabkan mangsa serta motosikal terjatuh di lorong kiri tersebut.
“Akibat kemalangan, mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia di Zon Merah ketika mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini tadi.
Anuar berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada, di kedua-dua belah kaki dan tangan kanan.
Menurutnya, pemandu lori berusia lingkungan 30-an bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Bedah siasat akan dilakukan ke atas mangsa pagi ini di Hospital Alor Gajah bagi mengetahui punca kematian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – K! ONLINE