PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menafikan laporan sebuah portal yang mendakwa lebih 30,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan yang dikeluarkan portal tersebut adalah tidak tepat.
Beliau menjelaskan, berdasarkan statistik keluaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), jumlah keseluruhan syarikat dan perniagaan yang menutup operasi bermula pada 18 Mac sehingga 9 Jun lalu adalah sebanyak 9,675 syarikat.
“Bagi tempoh 10 Jun sehingga September lalu pula, sebanyak 22,794 syarikat juga telah menutup operasi.
“Kenyataan ini menunjukkan bahawa dalam tempoh Mac hingga September, bukan hanya syarikat PKS yang menutup operasi tetapi merangkumi keseluruhan syarikat yang berdaftar dengan SSM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata, berdasarkan data dikeluarkan oleh SSM, bermula 1 April sehingga 19 Julai lalu, sebanyak 82,555 perniagaan baharu telah didaftarkan.
Katanya, perkara itu menunjukkan bahawa dalam situasi semasa Covid-19, ia tidak menghalang orang ramai untuk menceburi bidang perniagaan.
Begitupun, ujarnya, mereka perlu menggunakan platform e-dagang sebagai salah satu medium pemasaran produk atau perkhidmatan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web www.medac.gov.my atau menghubungi talian 1-300-88-1020. – K! ONLINE