IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengeluarkan Permit Penjaja Sementara (PPS) kepada para penjaja statik atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai dalam pentadbirannya mulai 16 November ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, permit itu disediakan bagi membantu penjaja kecil untuk menjalankan perniagaan dalam keadaan selamat dan terkawal disamping menjana pendapatan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
“Para penjaja dikehendaki memohon PPS secara bulanan dan akan dikenakan caj sebanyak RM10 bagi maksimum enam kali pembaharuan.
“Borang permohonan boleh didapati di Unit Penjaja, Tingkat 5, Jabatan Kesihatan MBI,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, para penjaja perlu mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan MBI seperti yang termaktub dalam Undang-undang Kecil Penjaja dan Gerai MBI Tahun 2020 dan Garis Panduan Permit Penjaja Sementara MBI.
“Para penjaja hendaklah memastikan tempat perniagaan adalah selamat, barang-barang perniagaan tidak ditinggalkan di tapak berniaga dan tidak mengganggu lalulintas.
“Di samping itu, para penjaja perlu memastikan kebersihan di tapak perniagaan masing-masing,” jelasnya.
Beliau berkata, Unit Pengurusan Penjaja, Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran, MBI akan membuat pemantauan secara berkala dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dan tempat berniaga berada dalam keadaan yang bersih. – K! ONLINE