TBILISI, Georgia – Pasukan Macedonia Utara mencatat sejarah tersendiri apabila mara ke Kejohanan Eropah (Euro) buat pertama kali dalam sejarah selepas menewaskan Georgia 1-0 pada aksi playoff awal pagi tadi.
Pada aksi tersebut, kapten pasukan yang juga bekas pemain Inter Milan, Goran Pandev muncul wira buat Macedonia apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan sekali gus meranapkan impian Georgia yang turut belum pernah beraksi dalam saingan Euro sebelum ini.
Kata Pandev, kemenangan tersebut membuatkan dirinya cukup bangga selain percaya pengalaman beraksi di peringkat tertinggi memberi ketenangan tambahan dalam membantu rakan-rakan sepasukan beraksi lebih yakin.
“Ia adalah detik bersejarah buat negara kami dan saya akui pengalaman sebelum ini banyak membantu saya untuk memberi motivasi kepada pemain untuk tampil lebih bersemangat dan yakin,” katanya.
Macedonia Utara telah diundi bersama Austria, Belanda dan Ukraine dalam Kumpulan C untuk saingan final yang dijadualkan berlangsung pada Jun depan.
Dalam perkembangan sama, Hungary telah mencipta kemenangan dramatik selepas menewaskan pasukan pilihan, Iceland 2-1 hasil jaringan pada minit-minit terakhir oleh Loic Nego dan Dominik Szoboszlai di Stadium Arena Puskas.
Keputusan tersebut membolehkan Hungary melengkapkan kumpulan ‘maut’ saingan Euro 2020 selepas diundi bersama Perancis, Portugal dan Jerman dalam Kumpulan F. – AGENSI