fbpx

Lima ditahan buat ancaman jenayah, provokasi terhadap anggota JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JITRA – Polis menahan lima individu kerana disyaki melakukan ancaman jenayah dan provokasi terhadap anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di hadapan sebuah pasar raya di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu berlaku selepas sepasukan penguat kuasa JPJ menahan sebuah van untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, van tersebut diminta untuk berhenti tetapi enggan sebelum diekori kenderaan JPJ.

“Van berkenaan kemudian telah berhenti di hadapan sebuah premis perniagaan berhampiran sebuah pasar raya.

“Pemeriksaan mendapati van itu dipandu oleh seorang lelaki dan terdapat tiga penumpang iaitu dua lelaki serta seorang perempuan berusia antara 20 hingga 45 tahun,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, pemandu van didapati melakukan kesalahan tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans selain pemeriksaan Puspakom tamat tempoh.

Menurut Mohd. Ismail, salah seorang penumpang van kemudian bertindak melakukan ancaman jenayah dan provokasi ketika anggota JPJ mahu mengeluarkan saman.

“Penumpang itu menolak salah seorang anggota bertugas, melontarkan kata-kata dan perbuatan menunjukkan sejumlah wang yang mengaibkan kredibiliti penjawat awam,” ujarnya.

Katanya, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tiba-tiba keluar dari sebuah premis berhampiran dengan sebilah parang dan mengeluarkan kata-kata ugutan yang mengancam nyawa.

“Lelaki terbabit turut menikam tayar hadapan sebelah kiri kenderaan pasukan JPJ menggunakan parang sehingga pecah.

“Tiada sebarang kecederaan yang berlaku ke atas anggota JPJ terlibat,” ujarnya.

Tambahnya, susulan laporan polis dibuat JPJ, pihaknya menahan lima suspek yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.

“Kesemua mereka direman selama tiga hari mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 506, 353, 427, 509 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI