fbpx

KPKT lancar Garis Panduan Pemberian Pinjaman Wang Dalam Talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida berucap pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Pemberian Pinjaman Wang Dalam Talian (Kredit Komuniti) di sini hari ini. - Foto IHSAN KPKT

PUTRAJAYA – Garis Panduan Pemberian Pinjaman Wang Dalam Talian dilancarkan bagi tujuan pelaksanaan urus niaga pinjaman wang di samping memudahkan urus niaga kredit komuniti selaras dengan kehendak dan suasana norma baharu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, garis panduan itu dibangunkan sebagai rujukan kepada syarikat Kredit Komuniti berlesen di bawah kementerian yang berhasrat untuk menjalankan urus niaga tersebut secara atas talian.

“Ia juga dibangunkan bagi mengurangkan jurang teknologi digital,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran berkaitan Garis Panduan Pemberian Pinjaman Wang Dalam Talian (Kredit Komuniti) di sini hari ini.

Majlis itu juga ditayangkan secara langsung menerusi Facebook Live KPKT.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib, dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Zuraida berkata, garis panduan itu juga dapat mewujudkan satu persekitaran urus niaga pinjaman wang yang lebih kondusif, selamat, terkawal dan teratur.

Beliau berkata, ia sebagai usaha kementerian untuk memodenkan industri pemberi pinjaman wang (Kredit Komuniti) selaras dengan usaha penjenamaan semula industri tersebut.

Katanya, bagi memastikan Garis Panduan Pemberian Pinjaman Wang Dalam Talian (Kredit Komuniti) memenuhi peruntukan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa, kerjasama dan penganjuran beberapa sesi libat urus dengan pelbagai agensi kerajaan turut diadakan.

Antara agensi kerajaan terlibat termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis DiRaja Malaysia (JSJK, PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Turut terlibat adalah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Peguam Negara.

Zuraida berkata, bagi fasa pertama pelancaran Garis Panduan Pemberian Pinjaman Wang Dalam Talian ini, terdapat lapan syarikat Kredit Komuniti yang telah mengemukakan permohonan secara rasmi kepada KPKT dan dibenarkan untuk menjalankan urusniaga pinjaman wang secara dalam talian.

“Syarikat-syarikat berkenaan adalah Axiata Digital Capital Sdn.Bhd, Grabfin Operations (Malaysia) Sdn.Bhd, GHL Payments Sdn.Bhd, Presto Credit Sdn.Bhd, JCL Credit Leasing Sdn.Bhd, Fortune Tree Capital Sdn.Bhd, BigPay Later Sdn.Bhd dan Hoop Fintech Sdn.Bhd.

“Beberapa siri libat urus telah dilaksanakan bersama syarikat-syarikat yang terlibat semasa fasa pembangunan garis panduan berkenaan.

Katanya lagi, KPKT juga akan memastikan urus niaga secara atas talian oleh syarikat-syarikat Kredit Komuniti ini dilaksanakan dengan beretika dengan pematuhan sepenuhnya kepada Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI