PUTRAJAYA – Kes harian negara kembali mencecah empat angka dengan 1,304 kes dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di seluruh negara sebanyak 45,095 kes.
Selain itu, terdapat satu kes kematian melibatkan lelaki berusia 70 tahun di Hospital Tuaran, Sabah dengan latar belakang penyakit darah tinggi sekali gus angka kes kematian meningkat kepada 304 kes.
Jumlah kes yang dilaporkan hari ini antara lain turut disumbangkan daripada 47 kluster aktif dengan Kluster Tapak Bina Damanlela dan Kluster Hentian penyumbang terbanyak masing-masing 191 dan 164 kes.
Sabah mencatatkan sebanyak 556 kes atau 42.6 peratus manakala, negeri-negeri di Lembah Klang merekodkan 567 kes sekali gus peningkatan sebanyak 2.5 kali ganda berbanding 224 kes positif semalam.
Sebanyak 364 kes atau 27.9 peratus disumbangkan oleh Selangor dan Kuala Lumpur sebanyak 202 atau 15.5 peratus.
Kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara merekodkan 33 kes atau 2.5 peratus iaitu Kluster Penjara Seberang Perai (20 kes), Kluster Penjara Kepayan (lapan), Kluster Rumah Merah (tiga) dan Kluster Tembok (dua).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak empat kluster baharu dilaporkan dan satu daripadanya Kluster Bonggaya di Sandakan, Sabah dengan 46 kes positif dikesan susulan kes indeks daripada hasil saringan komuniti.
Menurutnya, kes indeks telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent manakala, 45 kes positif lain dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Dewan Kompleks Sukan Sibuga, Sandakan.
“Bagi Kluster Jambatan B juga di Sandakan dengan kes indeks saringan bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent dan susulan itu, 52 lagi kes dikesan positif.
“Seterusnya, Kluster Abell di Kuching, Sarawak dengan kes indeks saringan kendiri dan susulan itu, 13 lagi kes dikesan positif dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, Kluster BMU pula di Jasin, Melaka dengan kes indeks saringan bergejala serta telah dimasukkan ke Hospital Melaka dan berikutan itu, sembilan lagi kes positif dikenal pasti.
Selain itu, beliau menambah, terdapat empat kes import dilaporkan hari ini melibatkan warga Malaysia yang tiba dari Arab Saudi dan Mesir.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, tiga kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Selasih, Kluster Bah Pengkalan dan Kluster Bah Pasir menjadikan jumlah kluster tamat sebanyak 136 kluster serta kesemuanya tidak merekodkan kematian.
“Kluster Selasih dikesan di Putrajaya, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan dengan 20 kes, Kluster Bah Pengkalan di Perak melibatkan enam kes manakala, Kluster Bah Pasir dengan lima kes dilaporkan,” katanya. -K! ONLINE