KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia melonjak pada suku ketiga (S3) 2020 dengan penyusutan lebih kecil dalam prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada -2.7 peratus.
Ini berbanding penyusutan 17.1 peratus KDNK pada suku sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pemulihan berterusan dapat dilihat dengan hampir keseluruhan sektor ekonomi kembali beroperasi, manakala kadar pengangguran menyusut kepada 4.7 peratus pada S3 berbanding 5.1 peratus pada suku kedua 2020.
“Prestasi ini dipacu pemulihan sektor pembuatan yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus berbanding penurunan 18.3 peratus yang berlaku pada suku sebelumnya.
“Sementara itu, sektor perkhidmatan pula merekodkan kemerosotan yang lebih kecil iaitu -4 peratus, berbanding -16.2 peratus pada suku kedua,” katanya dalam sesi pembentangan prestasi KDNK yang dibuat secara maya tengah hari tadi.
Dalam pada itu, Mohd. Uzir menjelaskan, gelombang ketiga Covid-19 dan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang memberi cabaran dalam meramal arah tuju ekonomi.
“Oleh itu, ketidaktentuan ekonomi akan ditunjukkan pada suku terakhir 2020,” katanya. – K! ONLINE