PETALING JAYA – Bekas Presiden Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (UMANY) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengingkari perintah polis ketika bersiaran langsung melalui Facebook di sebuah rumah minggu lalu.
Tertuduh Wong Yan Ke, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.
Mengikut pertuduhan, Yan Ke didakwa mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam, Asisten Superitendan Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman di Video Live (video siaran langsung) Facebook semasa pegawai polis tersebut membuat serbuan.
Kesalahan didakwa dilakukan ketika di sebuah rumah di Jalan 17/48 di sini, pukul 3.30 petang pada 7 November lalu.
Berikutan itu, graduan Universiti Malaya (UM) dalam jurusan kejuruteraan awam tersebut didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau dengan denda maksimum RM400 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Atifah Hazimah Wahab mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000.
“Jumlah itu adalah wajar, kerana mengambil kira kepentingan awam dan kes berkenaan tular di laman sosial Facebook,” katanya.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Rajsurian Pillai berkata, kadar ikat jamin yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan terlalu tinggi.
“Anak guam saya baru sahaja tamat pengajian dan sekarang bekerja sebagai badan pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) selain bekerja dengan Ahli Parlimen Klang,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Majistret Nurshahira membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 4 Februari ditetapkan sebutan semula kes.
Turut hadir pada prosiding itu peguam pemerhati yang mewakili Majlis Peguam, Cyrus Tiu Foo Woei. – K! ONLINE