fbpx

Bakal pengantin lega dibenar bernikah di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Diana (lima dari kiri) membuat persediaaan terakhir majlis pernikahannya yang bakal berlangsung ringkas di Bukit Petiti, Manir dekat Kuala Terengganu esok.

KUALA TERENGGANU – Seorang bakal pengantin lega diberi kelonggaran untuk melangsungkan upacara penikahannya esok di rumahnya sendiri di Kampung Bukit Petiti, Manir dekat sini walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Nur Diana Mohd. Din, 36, berkata, kelonggaran itu diberi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“JHEAT memberi kelonggaran kepada pasangan yang menerima kelulusan bernikah sebelum 9 November lalu seperti saya dan bakal suami untuk mengadakan majlis di rumah.

“Begitu pun ia tertakluk kepada beberapa syarat ketat seperti tiada kenduri dan dihadkan kepada keluarga terdekat pengantin lelaki dan perempuan sahaja,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Nur Diana berkata, semua persiapan perkahwinannya telah disiapkan sejak bulan lalu sebelum pelaksanaan PKPB diumumkan kerajaan di kebanyakan negeri termasuk Terengganu bermula Isnin lalu.

Walaupun majlis perkahwinan bakal berlangsung ringkas serta tidak seperti dirancang dan diimpikan sebelum ini, dia yang merupakan penjawat awam tetap bersyukur.

“Saya cuma berharap majlis saya (upacara pernikahan) esok berjalan dengan lancar.

“Keluarga pihak lelaki yang berasal dari Melaka juga telah memperolehi kebenaran merentas negeri daripada pihak polis,” katanya.

JHEAT masih membenarkan permohonan bernikah di negeri ini sepanjang tempoh PKPB tetapi perlu dilangsungkan di pejabatnya atau pejabat agama daerah sahaja. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI