TOKYO, Jepun – Atlet dari luar negara yang menyertai temasya Sukan Olimpik Tokyo 2021 akan di kecualikan untuk menjalani tempoh pengasingan 14 hari yang ditetapkan Jepun.
Sukan Olimpik itu sepatutnya diadakan pada tahun ini, namun ia terpaksa di tangguhkan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sekali gus menjejaskan persiapan atlet dan negara yang bertanding.
Ketua Pegawai Eksekutif Tokyo 2020, Toshiro Muto menjelaskan para atlet dan pegawai perlu menjalani ujian Covid-19 iaitu 72 jam sebelum tiba di Jepun bagi mengelakkan penularan virus Covid-19.
“Untuk melaksanakan kuarantin 14 hari itu dilihat mustahil. Justeru, para atlet, jurulatih dan pegawai sukan yang layak untuk ke Tokyo akan dibenarkan memasuki negara ini.
“Terdapat beberapa peraturan dan garis panduan yang akan dikenakan ke atas atlet berkenaan sebelum tiba di Tokyo antaranya ujian Covid-19 dilakukan 72 jam sebelum tiba ke negara ini,” kata Muto.
Dalam perkembangan sama, Muto turut menjelaskan syarat mengenai kehadiran penonton akan dibuat pada tahun depan bergantung kepada perkembangan pandemik Covid-19.
“Menjelang musim luruh akan datang, kami akan mengeluarkan pelan perancangan mengenai kehadiran penonton termasuk penonton dalam kalangan rakyat Jepun.
“Agak mustahil untuk menetapkan tempoh kuarantin 14 hari bagi penonton luar. Justeru, mereka diwajibkan menjalani ujian di negara mereka dan sebaik sahaja tiba di Tokyo.
“Terdapat kemungkinan bahawa penonton mungkin diminta agar tidak menjerit atau bercakap dengan kuat untuk mengelakkan penularan virus berkenaan,” tambahnya. – AGENSI