PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan singgah di beberapa gerai di kawasan luar Masjid Tengku Ampuan Afzan di Indera Mahkota selepas menunaikan solat Jumaat tadi.
Istana Negara dalam satu kenyataan memberitahu, baginda turut berkenan membelanja beberapa kanak-kanak dan jemaah yang berada di gerai-gerai tersebut minuman cendol dan kuih-muih.
“Al-Sultan Abdullah turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan rakyat serta mengurniakan sumbangan peribadi sebelum berangkat pulang ke Istana Abdulaziz.
“Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan,” katanya di laman Facebook hari ini. – K! ONLINE