Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
SUSULAN pembatalan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa kesemua 39 venue bagi temasya sukan tersebut tidak akan menjadi gajah putih.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bagi tujuan itu, pelbagai program sukan peringkat negeri akan dianjurkan di venue berkenaan.
Katanya, penggunaan venue itu turut melibatkan kesemua 11 venue baharu termasuk Pusat Akuatik Arena Larkin, Arena Emas, Kompleks Sukan Kanu Pagoh, Pusat Pelayaran Kramsau, Desaru dan Pusat Velodrom, Iskandar Puteri.
“Kita bagi jaminan bahawa kesemua venue ini tidak akan menjadi projek gajah putih bahkan akan dimanfaatkan bagi penganjuran aktiviti di peringkat negeri.
“Di peringkat seketariat Sukma, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) serta Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), kami telah berbincang untuk mengadakan aktiviti di kesemua venue tersebut agar para atlet serta rakyat Johor dapat gunakan infrastruktur dan kemudahan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di Iskandar Puteri semalam.
Antara kejohanan yang akan dianjurkan di venue Sukma berkenaan ialah kejohanan tinju Piala Datuk Bandar, Mix Martial Art Versus Johor Bahru, kejohanan Badminton Remaja Kebangsaan dan kejohanan Memanah Indoor MBJB di Stadium Tertutup di Stadium Tertutup Arena Larkin.
Turut dianjurkan ialah kejohanan Trek Kebangsaan, kejohanan Junior Cycling dan kejohanan International Open BMX di pusat berbasikal dan kejohanan renang Piala Datuk Bandar di Pusat Akuatik Larkin.
Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan Sukma dan Para Sukma 2020 yang dijadualkan berlangsung di Johor pada 2021 terpaksa dibatalkan akibat ketidaktentuan penularan pandemik Covid-19 yang telah memasuki gelombang ketiga di negara ini.
Bagaimanapun, Johor tetap ditawarkan semula untuk menjadi tuan rumah Sukma pada 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.