Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang akan mengambil tindakan terhadap individu yang ingkar dengan pematuhan prosidur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada perayaan Deepavali yang akan disambut Sabtu ini.
Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, penguatkuasaan pematuhan SOP itu akan dilaksanakan kontinjen terbabit termasuk menjalankan operasi bagi menjamin keselamatan, ketenteraman dan kelancaran trafik.
Menurutnya, ini bertujuan memastikan penganut agama Hindu dapat meraikan perayaan dengan aman dan selesa dalam tempoh perlaksanaan PKPB yang berkuat kuasa 9 November lalu.
“Tiada Ops Gempur dilaksanakan cuma operasi biasa setiap kali musim perayaan.
“Operasi penguatkuasaan pematuhan SOP PKPB hanya dijalankan secara rawak dan tidak dari rumah ke rumah, satu persatu.
“Lebih dengan cara ramah mesra dan memberi peringatan kepada masyarakat. Hanya yang ingkar terhadap SOP PKPB akan diambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, Pulau Pinang mencatatkan 63 kes baharu Covid-19 dengan kumulatif kes positif adalah 1,510 setakat ini.
Kes yang dilaporkan di lima daerah negeri ini membabitkan Kluster Intan, Kluster Bayan, Kluster Permatang dan Kluster Penjara Seberang Perai.
Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang, diisytihar tamat malam tadi.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang pada 15 Oktober sehingga 28 Oktober yang kemudiannya dilanjutkan lagi sehingga semalam.
Perlaksanaan PKPD itu membabitkan seramai 2,298 banduan dan 610 penghuni di tujuh blok kuarters kakitangan dan lapan unit rumah pegawai. – K! ONLINE