BAGAN DATUK – Tindakan berani seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun melarikan diri dari rumah ibu saudaranya mengundang padah apabila dia dirogol tiga lelaki di sebuah rumah tumpangan di Hutan Melintang di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, mangsa yang tidak bersekolah itu tinggal bersama ibu saudaranya sejak tiga bulan lalu dan keluar dari rumah wanita itu pada pukul 1 pagi.
Katanya, ketika berada di tapak permainan berhampiran, mangsa telah dihampiri dua lelaki menaiki kenderaan di mana seorang daripada suspek dikenali oleh mangsa.
“Suspek telah mengajak mangsa mengikuti mereka dan disebabkan tiada tempat untuk dituju, mangsa bersetuju dan dibawa ke sebuah rumah tumpangan yang dihuni rakan suspek.
“Mangsa kemudiannya diajak melakukan hubungan seks dan perbuatan itu dilakukan bergilir-gilir oleh ketiga-tiga suspek sebelum mangsa ditinggalkan sendirian di rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Anuar, ibu saudara mangsa berusia 24 tahun yang menyedari kehilangan kanak-kanak itu telah mencari anak saudaranya di kawasan sekitar namun gagal sebelum dihubungi seorang daripada suspek pada pukul 7.40 petang.
Katanya, suspek telah memberitahu wanita itu bahawa anak saudaranya telah dirogol dan meminta wang berjumlah RM4,000 bagi membebaskan mangsa.
“Bertindak atas laporan polis dibuat wanita itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak telah memberkas seorang lelaki di hadapan sebuah bank di Hutan Melintang pada pukul 6.30 pagi hari ini ketika cuba mendapatkan wang daripada wanita itu.
“Susulan tangkapan tersebut, kita berjaya menangkap dua lelaki lain pada pukul 7 pagi tadi dan merampas beberapa barangan termasuk kenderaan dan telefon bimbit,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek berusia antara 28 hingga 33 tahun itu didapati positif dadah jenis methampethamine dan dua daripada mereka mempunyai rekod lampau.
“Mangsa yang merupakan anak sulung dua beradik kini dalam keadaan stabil dan berada di Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan lanjut.
“Kesemua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya. – K! ONLINE