Oleh AZIZAN HASIM
PERANCANGAN skuad bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Perak untuk memburu gelaran pingat emas keempat terjejas selepas bakal hilang lebih separuh pemain sedia ada ekoran temasya sukan dwitahunan itu ditangguhkan ke tahun 2022.
Kata ketua jurulatih skuad Perak, K. Nanthakumar, barisan pemain yang dibentuk ketika ini sudah tentu berusia lebih 21 tahun sekali gus skuad perlu dirombak dalam usaha mengekalkan pingat emas yang dimenangi sejak edisi 2014.
“Perkara ini agak merunsingkan kerana terpaksa melalui semula proses pembentukan pasukan baharu.
“Kalau kena buat pemilihan, ia akan ambil masa agak lama untuk lihat keserasian pemain dan kesesuaian taktikal kita.
“Saya harap, kalau boleh syarat had umur ini dilihat semula atau diberi kelonggaran. Masalah ini juga saya rasa bukan hanya berlaku pada Perak tetapi pasukan lain juga,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Nanthakumar berkata, para pemain masih menjalani latihan seperti biasa, namun mengikuti prosedur operasi standard (SOP) selepas Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Latihan seperti biasa, dalam seminggu kita buat lima hari di sebelah petang kecuali Sabtu dan Ahad.
“Latihan kali ini kita pecahkan kepada dua kumpulan untuk pastikan ikut SOP khususnya mengenai penjarakan sosial antara pemain,” katanya.
Sukma Johor 2020 yang dijadualkan pada 6 hingga 14 Mac tahun depan terpaksa ditangguhkan ke tahun 2022 susulan peningkatan kes Covid-19.
Perak adalah juara ibu segala pingat itu dalam tiga temasya berturut-turut dan Nantha memikul beban berat bagi mempertahankan pingat emas yang dibawa oleh skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim dan Chan Wing Hoong itu.