PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyenaraikan status kategori zon bagi masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi tempoh 11 hingga 17 November ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan semalam, Jawi memaklumkan, senarai status zon itu penting sebagai panduan kepada jemaah untuk aktiviti solat fardu, solat Jumaat dan majlis akad nikah.
“Senarai penuh status masjid berdasarkan zon hijau, jingga, kuning dan merah itu boleh disemak menerusi laman rasmi Facebook Jawi,” katanya.
Katanya, status kategori zon itu diputuskan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Berdasarkan senarai itu, hanya dua buah masjid zon hijau di Kuala Lumpur iaitu Masjid Al-Muhsinin di Taman Danau Desa ( Off Jalan Klang Lama) dan Masjid Al-Khasyi’in di Taman Desa Petaling.
Manakala, 64 buah masjid lain di sekitar Kuala Lumpur dikategorikan sebagai zon kuning dan enam masjid di bawah kategori jingga.
Selain itu, 75 buah surau Jumaat di Kuala Lumpur dikategorikan bawah zon kuning dan 12 surau Jumaat lain terletak di bawah zon jingga.
Dalam pada itu, sebanyak 46 buah surau Jumaat dengan kebenaran khas di Kuala Lumpur diletakkan dalam kategori zon kuning dan 12 buah surau lain di bawah zon jingga.
Bagi Putrajaya pula, Masjid Mahmoodiah yang terletak di Presint 18 adalah satu-satunya dikategorikan sebagai masjid zon kuning.
Selain itu, sebanyak lima surau Jumaat di Putrajaya diletakkan di bawah zon hijau dan 15 surau Jumaat lain pula dikategorikan sebagai zon kuning.
Sementara itu, sebanyak empat surau Jumaat dengan kebenaran khas di Putrajaya diletakkan di bawah zon hijau dan lapan surau lain pula dikategorikan zon kuning.
Senarai sama turut menyenaraikan 16 buah masjid, 16 buah surau Jumaat dan 28 buah surau di Labuan diletakkan bawah kategori zon merah.
Bagi masjid-masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula, Masjid Negara di Kuala Lumpur dikategorikan zon kuning, manakala Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pula diletakkan bawah zon hijau. – K! ONLINE