PETALING JAYA- Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali membidas sikap segelintir pihak yang mempersoalkan kredibiliti dan komitmen Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam menangani Covid-19.
Katanya,Noor Hisham adalah antara individu yang paling komited dan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat terjaga sejak penularan wabak itu sejak Februari lalu.
“Saya terkejut apabila ada individu tertentu sama ada orang awam mahupun ahli politik tergamak mempertikaikan kredibiliti serta pengorbanan yang telah dilakukan olehnya dalam membanteras wabak Covid-19 di negara ini.
“Jika kita merujuk kepada petugas barisan hadapan, Noor Hisham merupakan orang nombor satu atau paling depan dalam pasukan itu,” katanya di sini tadi.
Jelasnya, Noor Hisham telah mendedikasikan sebahagian besar kehidupannya dalam menjaga aspek kesihatan rakyat di negara ini dan bukan hanya ketika wabak Covid-19 melanda sahaja.
“Saya bukan menyokong Noor Hisham sebab kami berada bersama dalam Kementerian Kesihatan (KKM), sebaliknya tahu bagaimana beliau bekerja setiap hari.
“Tindakan sesetengah pihak mempertikaikan amanah dilaksanakannya adalah tidak bertanggungjawab serta tidak masuk akal,” jelasnya.
Kelmarin, suasana persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan Noor Hisham sebagai takut mati.
Ia berikutan King Sing mempersoalkan kenapa Noor Hisham tidak turun padang melihat situasi sebenar Covid-19, sebaliknya hanya membuat sidang akhbar melalui televisyen sahaja. – K! ONLINE