KOTA BHARU – Nasib dua keluarga yang hidup dalam serba kekurangan di sebuah rumah usang di Kampung Cina di sini mendapat perhatian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).
POKB telah memberi sumbangan berupa mesin basuh dan barangan makanan bagi meringankan beban kepada keluarga tersebut.
Ketua Aktivis POKB, Saripah Ismail berkata, sebelum ini, pihaknya meluangkan masa untuk bertanya khabar kehidupan keluarga tersebut bersama pertubuhan lain.
“Atas dasar keprihatian terhadap mereka sekeluarga, POKB memberi sumbangan berupa mesin basuh berikutan barangan itu sebelum ini sudah rosak sejak setahun lepas.
“Dengan sumbangan itu, diharap ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang mereka tanggung selama ini kerana tidak mampu membeli barangan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah berkenaan di sini hari ini.
Menurutnya, selain itu, pihaknya turut bergotong-royong membersihkan rumah tersebut dengan kerjasama tujuh orang wakil Monsun Charity Ride dan ahli Projek Perumahan Rakyat (PPR) selama satu jam.
Saripah berkata, gotong royong itu bagi memastikan bahagian dalam rumah dan dapur berkeadaan baik dan tidak berselerak berikutan ada ahli keluarga yang tinggal di rumah tersebut tidak mampu melakukannya kerana mengalami masalah kemurungan dan sakit.
Sebelum ini ,kisah keluarga terbabit disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan dan mendapat perhatian umum.
Sementara itu, penghuni rumah tersebut, Che Muhammad Arif Che Sulaiman,19, bersyukur dengan sumbangan mesin basuh yang memang diperlukan selama ini selepas ia rosak dan tidak boleh digunakan sejak setahun lalu.
“Dengan adanya mesin basuh ini, ia memudahkan saya untuk membasuh semua pakaian ibu, Junaidah Ismail, 55, dan adik bongsu Che Muhammad Arshad, 12.
“Ini kerana, ibu terlantar sakit akibat angin ahmar lebih setahun dan saya terpaksa mengambil alih untuk berbuat demikian,” katanya.-K!ONLINE