Oleh MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
PORT DICKSON – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan hampir seluruh negeri di Semenanjung Malaysia turut memberi kesan kepada peniaga-peniaga yang menjual barangan sempena sambutan perayaan Deepavali pada 14 November ini.
Tinjauan Kosmo! di Lukut dekat sini, semalam mendapati peniaga mengakui jualan mereka agak berkurangan kerana sambutan Deepavali pada tahun ini terpaksa disambut secara sederhana susulan masyarakat terpaksa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang dilaksanakan.
Pemilik kedai runcit, P. Alagaih, 56, berkata, kebiasannya menjelang Deepavali kedainya akan dipenuhi pelanggan yang mahu membeli barangan keperluan sambutan namun tahun ini suasananya berbeza.
Jelasnya, kedainya kini mulang lengang tanpa pelanggan malah suasana itu mula terasa sejak pertengahan bulan September lalu.
“Pada kali ini, orang ramai yang datang membeli di kedai semakin berkurangan, semua orang tidak boleh keluar rumah selepas pukul 10 malam atas faktor PKPB sekali gus pendapatan harian kami juga terjejas.
“Memang gusar apabila jualan semakin berkurangan tapi apa boleh buat, ia berlaku di semua tempat. SOP mesti diikuti malah pelanggan yang ingin berbelanja di kedai saya mestilah tidak kurang dari 10 orang pada satu-satu masa,” katannya.
Pekerjanya, M. Menaga, 40, pula berkata, aktiviti jual beli sempena Deepavali tahun ini tidak serancak tahun-tahun sebelum ini kerana masyarakat India memahami ia perlu disambut dengan penuh sederhana.
“Sambutan Deepavali tahun kita sambut dalam keadaan penuh kesederhanaan sahaja selain orang ramai pun hanya berbelanja mengikut keperluan ekoran ekonomi keluarga juga tidak begitu baik.
“Apabila PKPB dilaksanakan, ramai tidak keluar rumah dan tidak pergi ke mana-mana, mahu melawat saudara-mara di kawasan lain juga tidak boleh, jadi semua duduk rumah, perayaan disambut sederhana,” katanya. – K! ONLINE