fbpx

Pinjam RM1,000 kena bayar RM30,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lim Thow Siang

JOHOR BAHRU – Seorang tukang masak dirundum malang selepas terpaksa membayar bunga sebanyak RM30,000 kepada ah long selama setahun susulan pinjaman berjumlah RM1,000 yang dibuat tahun lalu.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Pasir Gudang, Lim Thow Siang berkata, walaupun mangsa, seorang lelaki berusia 40 tahun, membuat pinjaman sebanyak RM1,000 untuk kegunaan peribadi, jumlah yang diterima di tangannya hanyalah RM600 sahaja.

Katanya, mangsa culas membuat pembayaran balik kepada ah long kerana berdepan dengan masalah kewangan menyebabkan amaun bayaran yang dibuat tidak pernah habis malah ia terus berlarutan ke tahun ini.

“Oleh kerana tidak tahan dengan keadaan itu, dia bertindak melarikan diri daripada ah long dan mencari kami untuk mendapatkan pertolongan. Sebagai pemudah cara, kami cuba membantu kes yang dialami tukang masak ini.

“Kami sudah menghubungi ah long yang terlibat dan berbincang dengan mereka bagi menyelesaikan kes tersebut. Setelah ‘kawtim’ dengan mereka, ah long terbabit bersetuju tutup kes dengan bayaran RM1,000 yang dibuat semalam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Ros Merah, Taman Johor Jaya, di sini hari ini.

Thow Siang berkata, MCA Pasir Gudang telah menerima hampir 50 aduan berkaitan kes ah long daripada Mei sehingga hari ini.

Katanya, pihaknya percaya jumlah kes yang mencatatkan peningkatan mendadak itu terkesan daripada penularan wabak pandemik Covid-19 yang menyaksikan ratusan ribu individu kehilangan pekerjaan.

“Tidak hairanlah kes yang direkodkan ini mencatatkan peningkatan. Ada di antara mereka yang terdesak dan terpaksa membuat pinjaman wang daripada ah long untuk menampung komitmen bulanan selain demi kelangsungan hidup keluarga mereka.

“Kes pinjaman tertinggi yang direkodkan ialah melibatkan individu yang membuat pinjaman mencecah RM200,000, dan kes ini masih lagi belum selesai,” katanya.

Beliau menjelaskan, daripada jumlah aduan kes ah long yang diterima, hampir separuh daripadanya adalah pinjaman palsu, di mana mangsa tidak tahu mereka ada membuat pinjaman wang tidak berlesen itu.

“Ada sesetengah kes, mangsa tidak membuat pinjaman langsung, cuma klik pautan iklan berkaitan pinjaman wang tersebut. Tanpa mereka sedar, pinjaman tersebut sudah dipindahkan ke akaun mereka secara automatik.

“Kita berharap orang ramai lebih berhati-hati dengan pautan iklan berkaitan pinjaman dan tidak terlalu mudah memberikan maklumat peribadi di laman sesawang yang mencurigakan,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI