SELAMA – Seorang pesawah ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas didapati tidak mempunyai kebenaran untuk menyimpan 28 ekor burung yang dilindungi.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Sharif berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia 42 tahun itu dibuat hasil aduan berterusan daripada orang awam serta risikan yang dibuat pihaknya.
“Hasil pemeriksaan menemui tiga spesies hidupan liar di kediamannya terdiri daripada 23 ekor burung ruak-ruak, burung belibis (2) dan tiga ekor burung ayam-ayam.
“Soal siasat mengenai pemilikan hidupan liar di rumahnya itu mendapati, dia gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah bagi menyimpan hidupan liar berkenaan ketika diperiksa,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Perhilitan Selama di sini hari ini.
Menurutnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian untuk disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran daripada Perhilitan. – K! ONLINE