PETALING JAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan melanjutkan tempoh Bantuan Kewangan Bulanan dan Bantuan Sewa Rumah secara automatik kepada semua penerima.
Unit Komunikasi Korporat MAIWP berkata, dengan lanjutan tempoh tersebut ia memberi manfaat kepada 5,629 penerima bantuan yang akan tamat pada penghujung Disember ini dan Januari 2021 melibatkan jumlah perbelanjaan zakat sebanyak RM1.92 juta.
Katanya, inisiatif itu adalah bukti usaha proaktif MAIWP kepada golongan asnaf yang pastinya terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang disambung sehingga 6 Disember depan ekoran pandemik Covid-19.
“Bantuan Kewangan Bulanan merupakan salah satu daripada 30 skim bantuan zakat Baitulmal MAIWP yang menyalurkan bantuan tunai terus ke akaun penerima setiap bulan merangkumi asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Bantuan ini disalurkan kepada asnaf fakir, miskin dan muallaf dengan jumlah bantuan bulanan antara RM300 hingga RM800 setiap penerima,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut MAIWP, Bantuan Sewa Rumah pula membantu menampung sewa rumah bulanan golongan asnaf fakir, miskin dan muallaf dengan kadar bantuan sehingga maksimum RM1,000.
Jelasnya, kedua-dua bantuan ini diberikan bagi tempoh setahun dan dalam tempoh sebulan sebelum bantuan tamat, penerima perlu hadir bagi penilaian untuk proses penyambungan.
“Namun dengan inisiatif penyambungan bantuan secara automatik ini, mereka tidak perlu hadir ke kaunter Baitulmal bagi proses penyambungan,” ujarnya.
Tambah MAIWP, orang ramai juga dimohon untuk melaporkan kepada pihaknya terdapat individu atau keluarga yang terjejas dan berada dalam kesusahan di Wilayah Persekutuan terutamanya semasa PKPB ketika ini,” katanya.
“Laporan boleh dibuat menerusi aplikasi telefon pintar Mobil Jejak Asnaf bagi memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP turun padang membantu mereka,” katanya. – K! ONLINE