LIVERPOOL – Liverpool bakal berdepan kesukaran untuk mencari pengganti Georginio Wijnaldum dan perlu berusaha keras untuk menghalang Barcelona mendapatkan khidmat pemain itu.
Wijnaldum bakal mengakhiri kontraknya pada penghujung musim ini dan masih belum menyatakan persetujuan untuk menyambung perjanjiannya bagi terus kekal bersama pasukan itu.
Barcelona dilihat sangat berminat untuk mendapatkan tandatangan pemain berusia 29 tahun itu pada jendela perpindahan musim panas lalu dan mereka dijangka akan kembali berusaha untuk membawa pemain itu ke Camp Nou.
Bagaimanapun, bekas pemain Liverpool, Glenn Johnson percaya The Reds perlu melakukan apa sahaja untuk memastikan pemain tengah itu terus kekal di Anfield kerana kualiti yang dimilikinya.
“Saya fikir mereka perlu kekalkannya. Dia adalah seorang pemain tengah yang cukup fantastik. Memiliki kualiti yang baik bersama bola, mampu menjaringkan gol serta turut membantu barisan pertahanan.
“Secara jelasnya, pengalaman yang dikutip sejak beberapa tahun lalu bersama Liverpool menyebabkan pasukan itu sukar untuk mencari pengganti yang sama sepertinya,” katanya.
Bagaimanapun, Liverpool masih mempunyai seorang pemain tengah yang baik iaitu Naby Keita yang dibeli dari RB Leipzig pada 2018, tetapi pemain itu masih gagal membuktikan kemampuannya setakat ini.
“Dia masih belum benar-benar memperlihatkan kemampuannya. Hanya menunggu masa untuk ‘meletup’.
“Saya rasa apabila peluang untuknya tiba, dia perlu menggunakan kesempatan itu untuk menunjukkan kelebihannya kerana sebagai pemain, mereka tidak suka untuk terus berada di bangku simpanan,” jelasnya. – AGENSI