PASIR PUTEH – Sebuah keluarga di Kampung Jeram B di sini hidup dalam kebimbangan selepas bahagian dapur rumah mereka bakal roboh sekiranya hakisan tebing Sungai Jeram tidak ditambak semula dengan segera.
Pemilik rumah berkenaan, Zawiah Yaacob, 56, berkata, arus sungai yang deras menyebabkan jarak dapur rumah mereka hanya tinggal lima meter dari sungai berkenaan.
Menurutnya, sudah banyak tanaman yang diusahakan suaminya, Ahmad Zaidi, 60, musnah dan dihanyutkan arus deras.
“Keadaan ini berlaku setiap hujung tahun sejak enam tahun lalu sekiranya hujan lebat sehingga menyebabkan sebahagian dusun tanaman hilang begitu sahaja.
“Sudah banyak tanaman pokok kelapa, pokok koko, duku dan salak dihanyutkan arus deras,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Zawiah berkata, laporan mengenai hakisan itu telah dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada tahun 2017, namun masih tiada tindakan diambil.
“Kami bimbang bahagian dapur rumah akan roboh pada bila-bila masa kerana jarak hakisan semakin hampir terutamanya hujan lebat yang berlaku pada penghujung tahun.
“Setakat ini, hanya rumpun tanaman pokok bunga kantan dan perdu buluh yang boleh ditanam di sekitar rumah. Kami sentiasa bimbang dan amat berharap tindakan segera diambil oleh pihak yang berkenaan,” katanya.
Zawiah berkata, dia menggunakan perbelanjaan sendiri untuk membeli tanah bagi menambak semula kawasan yang terhakis. – K! ONLINE