fbpx

‘Kami hanya mahukan pembelaan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUL KHUZAINI (duduk, dua dari kiri) dan Ira Rohaya (tiga dari kanan) menziarahi Ismail (kanan) dan isteri, Zaini di Kampung Beladau Kepong di Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Keluarga kepada Siti Nur Surya Ismail, 19, yang menjadi mangsa pembunuhan kejam minggu lalu, memaafkan keluarga suspek dan tidak pernah berdendam dengan sesiapa terlibat dalam kejadian ini.

Bapa mangsa, Ismail Muda, 58, berkata, ibu suspek ada bertemu dengannya pada Ahad lalu dan kunjungan wanita itu turut di­sambut baik oleh keluarganya.

“Sebagai orang Melayu, kita terima kehadiran (ibu suspek). Tiada langsung kami berdendam kerana keluarga suspek tiada kena mengena (dalam pembunuhan itu).

“Apa pun, saya tetap mahu kematian anak saya (Siti Nur Surya) mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Beladau Kepong di sini semalam.

Terdahulu, keluarga Siti Nur Surya menerima kunjungan Ke­tua Pengarah Badan Initiatif Jalinan Nasional (Bina), Datuk Seri Khairul Khuzaini Zamzani.

Bagaimanapun, Ismail berkata, keluarganya yang masih bersedih dengan kematian tragis yang menimpa Siti Nur Surya tertekan dengan pelbagai spekulasi yang telah ditimbulkan di media sosial.

“Ramai yang mengecam arwah anak saya tanpa tahu cerita sebenar, menyiarkan maklumat tidak sahih selain cuba mengapi-apikan kami dengan keluarga suspek.

“Saya mengambil pendekatan tidak lagi membaca mana-mana media sosial untuk mengurangkan keresahan diri dan keluarga,” katanya.

Ismail berkata, semua pihak sepatutnya menyerahkan kes tersebut kepada kebijaksanaan polis untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Kaunseling & Motivasi Bina, Datin Ira Rohaya Mohd. Aziz menawarkan khidmat kaunseling kepada Ismail dan ahli keluar­ganya.

“Keluarga Ismail kini dalam tempoh sukar dan perlukan sokongan untuk menghadapi tragedi yang sangat mengejutkan mereka.

“Pada masa sama, netizen ja­nganlah mengecam dan menu­ding jari yang akan memberi kesan negatif terhadap keluarga mangsa dan suspek,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI