fbpx

Kaki judi tukar token hasil pertaruhan di tandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian kaki judi diberkas dalam serbuan di sebuah premis di tingkat bawah South City Plaza, Seri Kembangan malam tadi.

SERDANG – Tindakan pemilik lesen pusat hiburan keluarga menawarkan aktiviti mesin judi terbongkar selepas pihak polis menyerbu sebuah premis di tingkat bawah South City Plaza, Seri Kembangan di sini malam tadi.

Serbuan berakhir 12.30 tengah malam itu turut membawa kepada penangkapan 23 kaki judi termasuk seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, hasil semakan mendapati 60 mesin hiburan keluarga yang mempunyai lesen sah diletakkan di bahagian hadapan premis bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, jelas beliau, bahagian belakang premis itu dijadikan lokasi kaki judi melakukan pertaruhan dengan meneka perlumbaan antara binatang secara animasi di mesin judi sebelum mengumpul kad khas untuk ditukarkan dengan wang tunai.

Razali melihat penjaga premis menunjukkan cara melakukan pertaruhan pada mesin judi.

Katanya, setiap pemain akan membeli token dengan nilai RM2 setiap satu untuk bertaruh dalam perlumbaan tersebut dan mampu menjana keuntungan RM30 hingga RM250 mengikut warna kad yang dikumpulkan.

“Jika dia (kaki judi) berjaya mengumpul kad yang nilainya lebih dari RM60 transaksi penukaran wang tunai akan dilakukan di dalam tandas.

“Selain itu, kita dapati kaki judi ini akan menghabiskan masa yang lama untuk melakukan pertaruhan susulan keutungan yang diperoleh mampu mencecah RM1,000 sehari dengan modal kurang RM100,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan malam tadi.

Menurutnya lagi, hasil siasatan juga mendapati premis berkenaan sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu dan mampu mengaut keutungan RM4,000 sehari.

Kata Razali, dua penjaga warga Bangladesh dan Indonesia masing-masing dibayar gaji RM1,600 untuk menguruskan aktiviti di premis tersebut.

“Dalam serbuan itu, kita menahan 23 lelaki berusia lingkungan 16 hingga 63 tahun dan daripada jumlah itu, tiga remaja didapati bawah umur, namun dua daripadanya sudah tidak bersekolah lagi.

“Turut dirampas 14 mesin judi haram dianggarkan bernilai hampir RM500,000 serta wang tunai RM1,710 yang dipercayai hasil kegiatan haram itu,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI