fbpx

Kadar penembusan capaian internet B40 meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan kadar penembusan capaian internet dalam kalangan isi rumah B40 telah meningkat untuk menyokong pembelajaran di rumah.

Jabatan Komunikasi Koporat MCMC dalam satu kenyataan berkata, ini sekali gus menepis dakwaan yang dibuat oleh seorang ahli politik baru-baru ini kononnya langganan talian Internet dalam kalangan isi rumah B40 adalah rendah dan tidak kondusif.

Menurut MCMC, berdasarkan fakta dan hasil tinjauan pengguna internet yang dijalankan tahun ini menunjukkan 95.4 peratus individu berpendapatan antara RM1,000 hingga RM3,000 mempunyai langganan Internet, sama ada sambungan talian tetap atau mudah alih manakala kadar langganan bagi golongan berpendapatan kurang RM1,000 pula ialah 82.2 peratus.

“Ini menunjukkan maklumat berkenaan menunjukkan penembusan capaian Internet dalam kalangan keluarga B40 pada masa ini berada pada tahap memberangsangkan.

“Bagaimanapun, cabaran yang perlu diberi perhatian sekarang adalah kemampuan melanggan pakej data terutamanya bagi golongan B40 yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan,” katanya.

Jelasnya, ia untuk membantu anak-anak yang bersekolah menyelesaikan tugasan di rumah ketika penutupan semua sekolah di seluruh negara akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sebagai langkah mengatasi cabaran tersebut, kerajaan telah mencadangkan peruntukan kredit telekomunikasi bernilai RM180 seorang (RM15 sebulan) atau bantuan peranti pintar sebanyak RM180 kepada golongan B40 dalam Belanjawan 2021.

“Syarikat-syarikat telekomunikasi juga turut menyediakan nilai tambah untuk data atau rebat bernilai RM180 seorang (RM15 sebulan) tertakluk kepada terma dan syarat pakej perkhidmatan.

“Selain itu, syarikat-syarikat telekomunikasi akan meneruskan program 1GB data percuma setiap hari sehingga akhir tahun 2020 untuk mengakses laman sesawang tertentu termasuk yang berkaitan dengan pembelajaran,”katanya.

MCMC berkata, masalah liputan di bandar, pinggir bandar dan pedalaman juga sedang giat diatasi melalui projek-projek pembinaan dan menambah baik infrastruktur di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dijangka selesai pada tahun 2023.

“Dengan terlaksananya JENDELA, ia akan memberi impak liputan 4G yang disasar merangkumi 96.9 peratus kawasan berpenduduk daripada tahap 91.8 peratus sekarang dan bakal meningkatkan purata kelajuan 4G kepada 30Mbps daripada 25Mbps sebelum ini.

“Status sasaran-sasaran JENDELA akan diumumkan setiap suku dan Laporan Suku yang pertama untuk JENDELA akan dibentangkan pada pertengahan Disember 2020,” katanya.

Tambah MCMC, kemudahan mengakses Internet dalam kalangan komuniti di bandar, pinggir bandar serta di luar bandar, terutama untuk pelajar sekolah turut akan dimantapkan melalui perkhidmatan 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) yang sedang diuruskan oleh MCMC di seluruh negara.

“Data-data yang dikemukakan ini adalah terkini dan merupakan maklumat tambahan kepada rumusan tinjauan yang dikumpul oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) pada tahun 2016 dan yang terbaharu pada 2019.

“Tinjauan tersebut dilakukan secara berkala. Statistik langganan Internet dan pemilikan peranti dilaporkan secara tahunan oleh MCMC dan agensi-agensi lain yang berkenaan,”katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI