Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
KEPUTUSAN pembatalan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Johor pada tahun depan yang dibuat lebih awal menyebabkan kerugian dialami kerajaan negeri adalah hanya minimum.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bagaimanapun jumlah kerugian berkenaan belum dapat dimuktamadkan lagi dan perlu diteliti terlebih dahulu secara terperinci.
Beliau berkata, jumlah akhir kerugian itu akan diperoleh pada penghujung bulan ini setelah mengambil kira pelbagai aspek.
“Soal kerugian ini, itu antara faktor utama kita di peringkat kerajaan negeri membuat permohonan kepada Kerajaan Pusat lebih awal (bagi mengelakkan kerugian lebih besar).
“Jumlah kerugian sebenar masih belum dimuktamadkan, tapi apa yang boleh kita sahkan ialah kerugian yang dialami adalah minima selepas keputusan awal pembatalan Sukma dibuat,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di Iskandar Puteri kelmarin.
Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan Sukma dan Para Sukma 2020 yang dijadualkan berlangsung di Johor pada 2021 terpaksa dibatalkan akibat ketidaktentuan penularan pandemik Covid-19 yang telah memasuki gelombang ketiga di negara ini.
Reezal berkata, pembatalan tersebut dibuat selepas kerajaan negeri Johor memohon supaya Sukma dan Para Sukma yang masing-masing dijadualkan pada 6 hingga 14 Mac serta 5 hingga 10 April tahun depan dibatalkan atas keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan atlet, pegawai serta rakyat di negeri ini.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut memberi jaminan kepada kontraktor yang telah menyiapkan pembinaan venue Sukma Johor akan menerima pembayaran seperti yang dijanjikan.
“Biarpun temasya sukan ini ditangguhkan, kita akan pastikan pembayaran dibuat kepada kontraktor yang membangunkan venue ini,” katanya.
Bagi persiapan Sukma edisi ke-20 itu, kerajaan negeri telah menyediakan 39 venue pertandingan termasuk 11 venue baharu. – K! ONLINE