TAMPIN – Seorang pesakit kanser usus tahap empat kini bergantung hidup pada ibunya, Minah Yahya, 73, untuk menguruskan diri kerana sukar bergerak selepas menjalani pembedahan membuang usus di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah, minggu lalu.
Alfian Ahmad, 42, berkata, dia tidak menyangka rasa sakit sewaktu hendak membuang air kecil yang dialaminya sebelum ini petanda dia menghidap kanser usus.
Katanya, sangkaannya rasa sakit itu berpunca daripada penyakit kencing kotor yang dialaminya bertahun lalu adalah meleset.
Malah, menurutnya, penyakitnya itu hanya diketahui bulan lalu selepas lima bulan berhenti kerja dari sebuah kilang di Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka kerana tidak mahu membebankan majikan dan pekerja lain.
“Sekarang saya cepat letih. Malah, pada waktu malam pula, saya sering mengerang kesakitan, emaklah yang akan mententeramkan saya.
“Ikutkan emak pun tidak sihat atas faktor usia, namun dialah tempat saya bergantung hidup, membantu mengelap badan saya setiap hari,” katanya ketika ditemui di Rumah Rakyat Repah, dekat sini, semalam.
Menurutnya, buat masa ini dia hanya bergantung kepada duit hasil pengeluaran dari akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibawah program i-Lestari.
Bagaimanapun katanya, dengan keadaannya kini, dia tidak dapat mengeluarkan wang berkenaan.
“Jadi, sekarang semuanya kakak yang uruskan termasuk soal pembelian ubat-ubatan di farmasi,” ujarnya.
Sementara itu, kakak Alfian, Aspahanum Ahmad, 48, berkata, adiknya itu sebelum ini seorang yang aktif dan kuat bekerja, namun sejak beberapa bulan lalu, kesihatannya semakin terjejas sehingga disahkan mengidap sakit kanser usus tahap empat.
“Adik memerlukan katil boleh laras seperti di hospital, mesin penafasan, tangki oksigen dan juga kerusi roda untuk memudahkan kehidupannya seharian,” ujarnya.
Dia juga yang sering berulang-alik ke rumah ibunya untuk membantu menjaga dan memantau keperluan adik.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian ke akaun CIMB Bank 7027826623 dengan nama Aspahanum Ahmad.