LAUSANNE – Pelumba MotoGP, Andrea Iannone tidak akan berlumba dalam perlumbaan kompetitif selepas digantung selama empat tahun oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kerana disahkan positif dadah jenis steroid kelmarin.
Sebagai rekod, Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM) terdahulu telah menghukum pelumba kelahiran Itali yang didapati positif menggunakan ubatan terlarang jenis Drostanolone pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia tahun lalu.
Bagaimanapun, Iannone telah membuat rayuan kepada CAS agar hukuman tersebut dikurangkan manakala Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) mahu pelumba berusia 30 tahun menyeru agar hukuman penggantungan dilanjutkan hingga empat tahun.
Selepas meneliti kes, CAS telah mengesahkan tempoh hukuman yang dikenakan kepada Iannone dipanjangkan sehingga 2023 bermula daripada tarikh pendakwaan dilakukan pada 17 Disember 2019 yang lepas.
“CAS telah meneliti setiap dokumen yang diberikan oleh kedua-dua belah pihak bagaimanapun kami membuat keputusan untuk melanjutkan hukuman Iannone sejajar dengan tuntutan yang diberikan oleh WADA kerana kesalahan dilakukan itu agak serius.
“Justeru, Iannone dihukum daripada sebarang aktiviti permotoran selama empat tahun bermula 17 December 2019,” kata CAS dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, Iannone yang turut dikenali dengan nama gelaran The Maniac masih memiliki kontrak dengan pasukan Aprilia sehingga penghujung tahun ini tetapi posisinya dijangka bakal digantikan oleh pelumba Britain, Bradley Smith. – AGENSI