PUCHONG – Hantar gambar wanita, buat persetujuan, jumpa dan terus bayar.
Itu modus operandi dilakukan sebuah premis yang menjalankan kegiatan pelacuran sehingga mampu menjana keuntungan lebih RM200,000 sebulan.
Promosi aktiviti persundalan itu dilakukan menggunakan aplikasi WhatsApp dengan setiap gadis pelayan pelanggan (GRO) menawarkan perkhidmatan dengan bayaran RM150 hingga RM200 bagi setiap sesi.
Bagaimanapun, kelicikan sindiket itu terbongkar selepas polis menyerbu sebuah premis tiga tingkat di Jalan Bandar Puteri Puchong di sini dan menahan lapan individu termasuk enam wanita warga asing semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, hasil siasatan mendapati penjaga premis akan menghantar gambar GRO kepada kenalan mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan.
Katanya, pelanggan akan datang ke premis tersebut untuk melihat sama ada GRO yang sama seperti dalam gambar dan jika bersetuju, pembayaran akan dibuat sebelum dibawa ke tingkat dua premis berkenaan bagi tujuan persundalan.
“Siasatan juga mendapati pelanggan akan dikenakan bayaran RM150 hingga RM200 bagi setiap satu sesi.
“Dalam serbuan itu, kita menahan empat wanita warga Thailand, Indonesia (2) dan Vietnam (2) yang berusia lingkungan 25 hingga 36 tahun,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini semalam.
Turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 50 tahun yang berperanan sebagai penjaga.
Menurutnya lagi, kesemua warga asing yang ditahan itu dikatakan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Tangkapan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 55B akta yang sama,” ujarnya.
Dalam serbuan berasingan, Razali berkata, seramai lapan pemain judi online dan seorang penjaga premis ditahan di Jalan Mawar Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada dua warga tempatan, Myanmar (3), Nepal (2) dan Bangladesh (2).
“Dalam serbuan itu, kita merampas 16 komputer riba, dua tab, tiga telefon bimbit, satu modem dan wang tunai berjumlah RM910 dipercayai hasil kegiatan haram itu.
“Kesemua suspek berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun itu ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.