LARUT – Sekumpulan penjenayah dikenali Geng Pidot yang aktif mencuri kabel di sekitar Larut, Matang dan Selama serta Kerian tumpas di tangan polis selepas dua daripada mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di Sungai Kob dan Mahang, Kedah hujung bulan lalu.
Difahamkan, nama Geng Pidot diambil sempena nama ketua mereka yang dikenali sebagai Pidot.
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Mohd. Sabri Saad berkata, dua suspek berusia 20-an itu merupakan ahli kumpulan curi kabel yang telah ditumpaskan polis dua tahun lalu dan kembali aktif sejak Julai tahun ini.
“Hasil risikan selama dua minggu, polis berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki warga tempatan termasuk ketua kumpulan yang berusia 24 tahun di Sungai Kob dan Mahang, Kedah.
“Modus operandi kumpulan ini adalah mengenal pasti kawasan yang mempunyai kabel pada waktu siang sebelum melakukan kerja mencuri kabel pada awal pagi antara pukul 2 hingga 5 pagi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sabri, kabel yang dicuri akan dibawa ke kebun sawit di Sedim, Kedah untuk dibakar sebelum dijual kepada pembeli besi buruk di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.
“Seorang pembeli kabel curi di Sungai Dua yang dipercayai bersubahat dengan dua suspek itu ditahan pada hari sama namun dua lagi ahli Geng Pidot masih lagi diburu polis.
“Polis merampas sebuah kereta jenis Proton Wira yang dilaporkan dicuri di Nibong Tebal, Pulau Pinang serta peralatan mencuri kabel, tiga gulung kabel yang belum dibakar dan lima guni plastik berisi kabel tembaga yang telah dibakar,” katanya.
Katanya, anggaran nilai barang rampasan adalah sebanyak RM13,000 dan kerugian yang dialami oleh Telekom Malaysia dianggarkan kira-kira RM150,000.
“Ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga mereka mendapati ketua Geng Pidot positif dadah jenis Syabu dan dia juga mempunyai rekod lampau jenayah dalam aktiviti mencuri kenderaan dan kabel.
“Dengan tertangkapnya Geng Pidot termasuk ketuanya, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 10 kes kecurian kabel dari Julai hingga Oktober tahun ini dan berjaya melumpuhkan sindiket curi kabel di daerah Selama dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Kes disiasat di bawah seksyen 431(a) dan 379(a) Kanun Keseksaan. – K! ONLINE