SHAH ALAM – Sebanyak 888 kawasan di sekitar Lembah Klang telah pulih bekalan air setakat pukul 6 pagi ini.
Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), semua kawasan tersebut mewakili 69 peratus daripada 1,279 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.
“Wilayah Kuala Selangor telah pulih bekalan air sebanyak 99 peratus, diikuti Hulu Selangor (87 peratus), Kuala Langat (80 peratus), Kuala Lumpur (75 peratus), Petaling (60 peratus), Gombak (55 peratus) dan Klang/Shah Alam (51 peratus).
“(Kini hanya) sebanyak 391 kawasan di wilayah terjejas masih lagi dalam proses pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Air Selangor menyarankan para pengguna membiarkan air pili mengalir jernih sebelum digunakan mereka.
Ujarnya, orang awam yang telah menerima bekalan air itu dinasihatkan menggunakan air secara berhemah untuk memastikan proses pemulihan di kawasan yang terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
“Bantuan bekalan air di pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) di beberapa lokasi terpilih masih disediakan untuk kemudahan para pengguna yang terlibat dalam gangguan air tidak berjadual ini,” jelasnya. – K! ONLINE