JOHOR BAHRU – Enam pelajar tingkatan empat sebuah sekolah berasrama penuh di Kluang yang direman empat hari bagi membantu siasatan kes buli junior diberi jaminan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, kesemua suspek berusia 16 tahun itu diberi jaminan selepas direman sejak Isnin lalu sejurus polis selesai melakukan siasatan.
Menurutnya, kertas siasatan sudah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Kesemua pelajar itu diberi jaminan polis dan kita masih menunggu keputusan daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ringkas.
Isnin lalu Kosmo! melaporkan enam pelajar tingkatan empat sebuah sekolah berasrama penuh di Kluang yang disyaki terlibat dalam kejadian buli junior mereka direman empat hari bermula Ahad hingga Rabu lalu.
Terdahulu, pada 26 Oktober lalu lima pelajar tingkatan dua cedera selepas dipukul dan dibelasah sekumpulan pelajar senior di sebuah asrama sekolah berkenaan.
Kejadian itu menyebabkan Mohammad Farish Haiqal Mohd. Khalid, 14, mengalami kecederaan pada otot dada dan paru-paru remaja itu hampir bocor. – K! ONLINE