PETALING JAYA – Liga Bola Malaysia (MFL) mengesahkan kejohanan Piala Malaysia 2020 dibatalkan serta-merta susulan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara agar saingan bola sepak berprestij itu untuk diteruskan mengikut jadual tidak dibenarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, MFL harus akur dengan keputusan terbaharu daripada MKN di mana pihak kerajaan tidak membenarkan kejohanan Piala Malaysia 2020 berlangsung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.
“MFL sentiasa peka dengan saranan daripada MKN. Pihak kerajaan telah menyarankan supaya tidak meneruskan pertandingan Piala Malaysia 2020.
“Sudah tentu dalam surat rayuan sebelum ini MFL telah menyediakan perancangan cukup rapi selaras dengan panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 yang masih berbaki tujuh perlawanan dapat diteruskan tetapi seperti saya katakan tadi MFL sentiasa peka dengan saranan pihak kerajaan.
“Justeru, MFL menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah terpaksa mengambil keputusan yang cukup berat untuk membatalkan saingan TM Piala Malaysia 2020 demi kesihatan dan keselamatan semua pihak seperti yang disarankan oleh pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Sebagai rekod, aksi Piala Malaysia sudah pun membuka tirai pada pusingan pertama yang lepas dengan lapan pasukan bakal berentap di pentas suku akhir dengan jadual perlawanan sepatutnya dikeluarkan dalam masa terdekat.
Lapan pasukan yang layak adalah Selangor, Kedah, Terengganu FC, UiTM FC, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).